fbpx
Hakemal (kanan) bercakap dalam sidang akhbar Op Hazard 3.0, di Ibu Pejabat Briged Tengah PGA, Cheras, Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI / KOSMO!

Op Hazard 3.0: 28 premis di 3 negeri digempur, rampas e-waste bernilai RM187.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 56 warga asing dan merampas pelbagai barangan e-waste bernilai RM187,199,530 dalam Op Hazard 3.0 yang dilakukan serentak di tiga buah negeri pada Isnin lalu.

Operasi bersepadu pada pukul 10.30 pagi itu dilaksanakan di 14 lokasi melibatkan 28 premis di Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.

Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, seramai 56 individu ditahan terdiri daripada 31 warga Myanmar, Bangladesh (20) dan warga China (5) berusia 30 hingga 50 tahun.

Beliau berkata, kesemua warga asing itu bekerja di premis berkenaan dengan gaji RM1,000 untuk memproses barangan e-waste.

“Kebanyakan premis yang diserbu jenis kilang yang beroperasi secara haram tanpa kelulusan untuk memproses e-waste. Kebanyakan kilang dipercayai beroperasi dua ke tiga tahun.

“Setakat ini kami masih menyiasat pemilik kilang kerana ada warga tempatan dan luar negara. Kesemua barangan e-waste dipercayai diimport dari luar negara, namun masih masih diteruskan,” katanya pada sidang akhbar Op Hazard 3.0 di Markas Briged Tengah PGA, di sini hari ini.

Hakemal berkata, jumlah keseluruhan e-waste yang dirampas adalah seberat lebih 1.4 juta kilogram (kg) bernilai RM180,922,550.

Turut dirampas produk akhir seberat 11,000kg bernilai RM1,375,000, 2,000 kg barang lusuh (RM300,000) serta lain-lain barangan (RM4,601,980).

“Sebanyak 10 kompaun berjumlah RM10,000 dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan 11 kompaun lagi bernilai RM22,000 dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Undang-Undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian, Akta Cukai Pendapatan serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Hakemal berkata, sejak 1 Januari hingga hari ini, sebanyak 140 serbuan dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur/Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Seramai 394 individu ditahan membabitkan rampasan bernilai RM216 juta,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JAS Selangor, Datuk Wandi Yadzid Yaakob berkata, kesalahan utama dikesan adalah memproses e-waste tanpa lesen dan membuka premis tanpa kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar di bawah Seksyen 18, 19, 34A dan 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM10 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya,” katanya yang memberitahu sepanjang pelaksanaan Op Hazard 3.0, sebanyak 27 premis dikesan beroperasi secara haram. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN