TENAGA Nasional Berhad (TNB) tampil dengan identiti baharu dengan pasukan utama dikenali sebagai TNB ThunderStars menjelang saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 yang akan bermula 11 April ini.
Pelancaran identiti itu bukan sahaja sebagai wajah baharu pasukan, malah menjadi simbol komitmen TNB dalam memperkukuhkan kedudukan selaku peneraju hoki negara dengan ThunderStars merupakan pasukan elit, manakala TNB Thunderbolts sebagai skuad pembangunan.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad menyuarakan keyakinan pasukan itu, terutamanya ThunderStars mampu untuk memberikan cabaran dan mengulangi gelaran berganda diraih dua tahun lalu.
“Tidak mustahil untuk kita mengulangi kejayaan berganda seperti yang pernah dilakukan pada 2024. Pada masa sama, TNB akan meneruskan peranan sebagai peneraju utama sukan hoki negara melalui pembangunan bakat muda,” katanya.
Pada saingan 2024, TNB berjaya menamatkan penantian selama 21 tahun untuk kembali bergelar sebagai juara liga, sekali gus menjadi gelaran keenam mereka selepas kempen 1990, 1991/92, 2000/01, 2002 dan 2003.
Sementara itu, mereka juga berjaya memastikan gelaran berganda apabila turut menjulang trofi Piala TNB selepas membenam cabaran Pasukan Hoki Terengganu (THT) menerusi kemenangan 4-2 di pentas final.
Pada masa sama, Shamsul turut mengakui, projek pembangunan yang dilakukan menerusi pasukan Thunderbolts turut menunjukkan hasil apabila tiga pemain muda diserap masuk ke pasukan utama musim ini.














