fbpx
TERTUDUH mengelak daripada dirakam pemberita selepas wang denda selesai dibayar pihak isterinya di Mahkamah Majistret Alor Gajah, Melaka, hari ini.

Mejar tentera didenda RM1,700 mengaku tumbuk kepala guru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Seorang pegawai kanan tentera berpangkat mejar didenda RM1,700 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menumbuk kepala seorang guru wanita, Oktober tahun lalu.

Majistret Dr. Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap R. Rajakogillan, 35, yang mengaku salah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada seorang wanita 44 tahun dengan cara menumbuk belakang kepalanya sebanyak tiga kali.
Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kereta Taman Terendak Heights, Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah lebih kurang pukul 7.30 malam, 5 Oktober 2025.

Difahamkan, kejadian berpunca daripada konflik hubungan peribadi antara tertuduh dan mangsa yang merupakan ibu tunggal dua anak.

Insiden berlaku ketika kedua-duanya bertemu di dalam sebuah kereta untuk membincangkan hala tuju hubungan selepas mangsa mengetahui tertuduh mempunyai hubungan dengan wanita lain.

Namun berlaku pertengkaran sebelum tertuduh didakwa menumbuk belakang kepala mangsa yang merupakan guru di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah sebanyak tiga kali.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman setimpal, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Goh Jee Chee.

Pihak pembelaan dalam rayuannya meminta hukuman ringan diberikan dengan alasan ia merupakan kesalahan pertama tertuduh yang bekerja sebagai pegawai tentera dengan pendapatan bulanan RM5,000, selain tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama

Hujahnya, tindakan anak guamnya itu juga adalah untuk mempertahankan diri dan mangsa bukanlah kekasihnya, malah tertuduh juga baharu berkahwin dan membawa isterinya bersama pada prosiding berkenaan.

Selepas mendengar hujan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,700 atau empat bulan penjara jika gagal bayar. Tertuduh membayar denda berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN