fbpx
Pihak imigresen ketika melakukan serbuan disebuah kilang di Kuala Selangor, kelmarin. Foto JIM

Kilang plastik jadi ‘topeng’ operasi e-waste, 22 warga asing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Helah sebuah premis yang berselindung di sebalik operasi kilang plastik diserbu selepas dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan sisa elektronik (e-waste) secara haram dalam operasi khas di Kuala Selangor, kelmarin.

Ketua Pengarah Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi di sebuah kilang di Ijok itu dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kuala Selangor pada pukul 12 tengah hari.

Katanya, hasil risikan selama sebulan dan maklumat awam membawa kepada penahanan 22 lelaki asing berusia 21 hingga 66 tahun.
“Mereka terdiri daripada tujuh warga China dan 15 warga Bangladesh dipercayai bekerja serta berada di premis itu tanpa mematuhi peraturan imigresen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, semakan mendapati enam warga China dan 10 warga Bangladesh menyalahgunakan pas, manakala dua warga Bangladesh pula tinggal lebih masa. Baki warga asing lain tidak memiliki dokumen yang sah untuk berada di negara ini.

Tambahnya, operasi tersebut turut berdepan cabaran apabila penjaga premis enggan memberi kerjasama, selain beberapa pekerja asing bertindak agresif ketika cuba meloloskan diri dan bersembunyi namun mereka berjaya ditahan.

“Seorang pegawai operasi turut cedera ketika melakukan pemeriksaan dan mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Pihak berkuasa menyita 12 keping pasport Bangladesh, pasport China (6), kad perakam waktu dan lesen perniagaan premis. Siasatan mendapati premis itu dikendalikan warga China yang menggunakan lesen kitar semula plastik bagi mengaburi pihak berkuasa.

Bahan e-waste dipercayai dibawa masuk menggunakan lori atau kontena dan dilabel sebagai plastik kitar semula.

“Premis tersebut dilengkapi sistem pemantauan dan amaran awal bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa selain dipercayai menempatkan pekerja asing di dalam kilang berkenaan,” ujarnya.

Seorang warga China ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63, manakala beberapa lagi ditahan mengikut peruntukan undang-undang imigresen lain.

Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan selanjutnya, manakala seorang lelaki tempatan turut diberikan notis bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN