DUNGUN – Kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Viva yang terbabas membongkar kegiatan penyeludupan daun ketum di Kilometer 339.9, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), berhampiran susur keluar Paka, di sini, hari ini.
Daun ketum tersebut ditemukan dalam kereta berkenaan yang terlibat dalam kemalangan pada pukul 8.30 pagi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Dungun, Deputi Superintenden Jumaidy Bah Chong Weh berkata, sewaktu kejadian kereta Perodua Viva dipandu lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang dari Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokadi kejadian, kereta terbabit dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh penghadang jalan.
“Pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan parah. Pemeriksaan kemudian menemui beberapa bungkusan plastik mencurigakan dipercayai mengandungi daun-daun berwarna hijau dipercayai ketum tercampak keluar dari kenderaan.
“Pemeriksaan kemudiannya menemui bungkusan lain yang disyaki turut mengandungi daun ketum di dalam but kereta Perodua Viva berkenaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini hari ini.
Jumaidy berkata, suspek telah dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun di sini sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, untuk menerima rawatan, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – KOSMO! ONLINE














