fbpx
NOOR Hisam (tengah) menunjukkan rampasan dalam serbuan di sebuah inap desa di Bagan Datuk yang dijadikan sebagai pusat panggilan operasi pelaburan mata wang kripto tidak wujud.

Inap desa jadi pusat panggilan ‘scam’, 22 warga China ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Taktik sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang menjadikan sebuah inap desa di Bagan Datuk sebagai pusat panggilan operasi terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa Selasa lalu.

Serbuan pada pukul 1 pagi itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Bagan Datuk dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, seramai 22 warga China terdiri daripada 19 lelaki dan tiga wanita berusia 22 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan.
Katanya, kesemua tangkapan itu dipercayai terlibat dalam aktiviti penipuan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang menyasarkan warga Itali sebagai mangsa.

“Berdasarkan siasatan awal, sindiket tersebut menjalankan aktiviti penipuan pelaburan menggunakan platform dikenali ‘pyxora labs’. Sindiket menyasarkan warga Itali sebagai mangsa dan berkomunikasi dengan mereka melalui WhatsApp atau Telegram.

“Mangsa yang berminat dikehendaki membuat bayaran kepada sindiket dalam mata wang kripto di platform tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan di premis yang beroperasi sejak Februari lalu, sebanyak 35 telefon bimbit, sembilan buah komputer riba dan enam tetikus dirampas. Turut dirampas dua router, modem (2) serta  penyambung wayar (2) dengan nilai keseluruhan RM95,000.

“Kesemua tangkapan warga asing itu mempunyai dokumen lengkap dan masuk ke negara ini secara sah. Kita sedang bekerjasama dengan pihak imigresen untuk mendapatkan maklumat berkaitan kemasukan mereka ke negara ini,” katanya.

Kesemua mereka direman selama empat hari bermula Selasa lalu untuk siasatan di bawah Seksyen 420 dan Seksyen 120(b) Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN