JAKARTA – Dua guru di Purbalingga, wilayah Jawa Tengah menjadi perhatian pengguna media sosial kerana ditangkap berdua-duaan di dalam rumah ketika waktu kerja, lapor laman berita Warta Indonesia News.
Kedua-dua mereka yang cuma dikenali sebagai SR dan MH, bertugas di sebuah sekolah rendah di Karangmoncol.
Perbuatan mereka dihidu oleh suami SR dikenali sebagai RD, yang kemudian mencekup kedua-duanya di samping pihak berkuasa.
MH ketika ditanya menafikan bahawa dan SR mempunyai hubungan sulit.
“Memang benar terdapat serbuan sekitar pukul 12 tengah hari. Kami berdua berada di rumah, tetapi kami tidak melakukan apa-apa. SR hanya datang untuk meminta bantuan berkaitan kerja,” katanya.
Kenyataan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai memandangkan pertemuan itu berlangsung secara tertutup di rumah semasa waktu bekerja.
MH juga mendedahkan bahawa dia dan SR sedang menjalani prosiding perceraian dengan pasangan masing-masing.
“Kami berdua sedang dalam proses untuk bercerai,” tambahnya.
Sementara itu, ketua polis tempatan berkata, kes itu diselesaikan secara rundingan.
“Menurut maklumat daripada pegawai, memang terdapat serbuan. Mediasi telah dijalankan, dan si suami tidak mengambil tindakan undang-undang dengan syarat kejadian itu tidak berulang.
“Bgaimanapun, pihak SR mahukan perceraian,” jelasnya. – AGENSI














