KUALA TERENGGANU – Tindakan seorang pengusaha kedai makan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) memakan diri apbila didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd. Syahrul Izhar Sulaiman, 33, mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.
Mohd. Syahrul Izhar didakwa menggaji lelaki warga Thailand berusia 51 tahun sebagai pelayan tanpa permit kerja sah.
Perbuatan itu dikesan ketika operasi Jabatan Imigresen di Warung Seri Pantai, Thai-Food, Jalan Fikri Kampung Seberang Takir, Kuala Nerus pada pukul 11 malam, 25 Februari lalu.
Sementara itu, di mahkamah sama, dua syarikat pembinaan didenda RM35,000 selepas mengaku bersalah membenarkan PATI menetap di premis projek masing-masing.
Syarikat Permintex Warijitu Resources Sdn. Bhd. didenda RM20,000 kerana membenarkan empat lelaki Indonesia berada di tapak pembinaan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Besut tanpa dokumen sah.
Sebuah lagi syarikat, Nurul Iman Solution pula didenda RM15,000 atas kesalahan sama selepas membenarkan tiga warga asing berada di tapak pembinaan tersebut tanpa pas yang sah. – KOSMO! ONLINE














