PETALING JAYA – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil langkah memperkasakan program Food Bank@UniMAP bagi membantu pelajarnya yang berdepan cabaran peningkatan kos sara hidup.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dalam kenyataan berkata, UniMAP turut melancarkan Kempen Penjimatan Kos dan Gaya Hidup Berhemah kepada pelajarnya.
“UniMAP bukan sekadar institusi pendidikan, malah sebuah ekosistem yang prihatin terhadap kebajikan pelajarnya. Kita mahu pastikan setiap mahasiswa dapat meneruskan pengajian secara selesa dan terjamin,” katanya.
Ujarnya, melalui pemerkasaan Food Bank@UniMAP, sistem penyampaian bantuan menjadi lebih fleksibel, sistematik dan mesra pelajar selain diperluas melalui kerjasama strategik bersama agensi luar serta rakan industri.
“Inisiatif ini akan dilaksana di semua kolej kediaman UniMAP selewat-lewatnya hujung Mei depan, sekali gus memastikan akses bantuan yang lebih menyeluruh dan efektif kepada pelajar.
“Pendekatan ini turut melibatkan penempatan ‘food bank’ di setiap kolej kediaman bagi mengurangkan pergerakan pelajar serta memudahkan akses bantuan secara lebih dekat, cepat dan selamat,” ujarnya.
Jelasnya, pelancaran Kempen Penjimatan Kos dan Gaya Hidup Berhemah pula merupakan usaha holistik dalam membentuk mahasiswa yang lebih berdaya tahan, celik kewangan serta mengamalkan gaya hidup sederhana dan lestari.
“Sebagai inisiatif jangka pendek, UniMAP turut meringankan beban kos sara hidup mahasiswa melalui pelaksanaan insentif kupon makanan bernilai RM2 setiap satu, dengan setiap pelajar menerima manfaat keseluruhan sehingga RM50,” katanya.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP, Muhammad Akram Ariff Shahruddin berkata, pelajar amat menghargai usaha pihak pengurusan universiti yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan pelajar. – KOSMO! ONLINE














