LONDON – Pelumba pasukan Mercedes, George Russell diberi amaran supaya tidak memandang rendah keupayaan rakan sepasukannya, Kimi Antonelli yang kini membuktikan dia bukan sekadar pelumba No. 2 dalam pasukan itu.
Bekas pelumba Formula Satu (F1), Martin Brundle menyifatkan Russell kini perlu berasa bimbang selepas pelumba remaja berusia 19 tahun, Antonelli menunjukkan kematangan luar biasa dengan memenangi dua perlumbaan berturut-turut di Grand Prix (GP) China dan Jepun.
Kejayaan itu menyaksikan Antonelli kini menerajui carta kejuaraan dunia dengan 72 mata, mendahului Russell dengan perbezaan sembilan mata selepas tiga pusingan awal musim 2026.
“Jika saya George (Russell) saya akan lebih bimbang selepas tiga perlumbaan berbanding pada awal musim ini,” kata Brundle.
Menurut Brundle, Russell telah mengharungi tempoh sukar bersama Williams dan menyertai Mercedes ketika pasukan itu sedang bergelut dengan prestasi.
Selepas Mercedes kembali memiliki jentera juara, Russell kini terpaksa berdepan cabaran sengit daripada rakan sepasukan yang jauh lebih muda.
“Dia (Russell) perlu melihat rakan sepasukannya itu dan berfikir cara untuk mengatasinya. George perlu melayan Kimi Antonelli seolah-olah dia adalah Lewis Hamilton ketika di kemuncak prestasi dan merupakan ancaman kepada kejuaraan dunia,” tambahnya lagi.
Walaupun Antonelli kini mendahului saingan, Prinsipal Pasukan Mercedes, Toto Wolff cuba meredakan tekanan ke atas pelumba Itali itu dengan menegaskan bahawa perjalanan musim ini masih panjang dan penuh risiko.
Meskipun Russell dianggap pilihan utama kerana faktor pengalaman, Brundle menegaskan kelajuan yang ditunjukkan Antonelli dalam sesi kelayakan dan perlumbaan sebenar setakat ini sudah cukup untuk membuatkan Russell tidak boleh duduk tenang. – AGENSI














