MANCHESTER – Bek tengah, Harry Maguire terus mendapat ‘talian hayat’ untuk kekal menyarung jersi Manchester United apabila menandatangani kontrak baharu selama setahun dengan pilihan tambahan 12 bulan.
Bagaimanapun, pemain berusia 33 tahun itu terpaksa melakukan pengorbanan apabila bersetuju untuk memotong gaji mingguan yang diterima bagi memastikan dia dapat terus menabur bakti di Old Trafford.
Maguire berkata, dia bangga dan gembira untuk terus komited dengan United, lebih-lebih lagi kontrak sedia bakal tamat penghujung musim ini selain dia disebut-sebut antara pemain yang akan dilepaskan.
“Mewakili Manchester United merupakan penghormatan paling besar sebagai seorang pemain bola sepak professional. Saya anggap ini sebagai tanggungjawab yang penting dan ia membuatkan keluarga saya bangga.
“Saya berbesar hati untuk terus komited bagi menabur bakti bersama kelab hebat ini. Saya sudah bersama pasukan ini selama lapan musim dan saya gembira untuk terus membawa nama United,” katanya.
Sebagai rekod, Maguire mengharungi karier turun naik bersama United selepas menyertai pasukan itu dari Leicester City dengan perpindahan rekod dunia £80 juta (RM427.91 juta) pada 2019 apabila pernah dilucutkan peranan sebagai kapten.
“Saya boleh rasakan kemahuan serta potensi yang ada dalam pasukan ini. Semua pemain sentiasa menunjukkan semangat juang tinggi dan saya yakin ada sinar yang sedang menanti pasukan ini,” ujar Maguire. – AGENSI














