IPOH – Mesyuarat Pertama Tahun Keempat Dewan Negeri Perak ke-15 yang akan bermula Selasa ini tidak melibatkan perubahan kedudukan tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk menukar tempat duduk ADUN.
“Sehingga kini, saya tidak menerima sebarang permohonan untuk menukar kedudukan tempat duduk ADUN.
“Oleh itu, susunan tempat duduk akan diteruskan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.
Menurutnya, beliau tidak menolak jika ada sebarang perubahan sekiranya terdapat permohonan, namun ia tertakluk kepada kesesuaian serta kekangan teknikal di dalam Dewan.
Beliau berkata, perubahan tempat duduk pada saat akhir agak sukar berikutan melibatkan sistem mikrofon dan rakaman video yang telah disusun mengikut kedudukan tempat duduk sedia ada.
“Sekiranya ada permohonan, kita akan teliti dan pertimbangkan.
“Bagaimanapun, perubahan pada saat akhir agak mencabar kerana melibatkan sistem teknikal yang sensitif serta telah digunakan sekian lama,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata persidangan DUN Perak akan bermula pada 14 April sehingga 21 April selama enam hari dan akan dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Menurutnya, sepanjang persidangan itu, sesi soalan lisan akan diadakan selama satu jam setiap hari selain pembentangan usul menjunjung kasih atas titah diraja serta perbahasan melibatkan semua ADUN.
“Beberapa usul turut akan dibawa termasuk cadangan pindaan Perintah Tetap Dewan Negeri serta penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas melibatkan empat fokus utama iaitu masyarakat menua, kemiskinan bandar, bandar pintar dan sekuriti makanan.
“Rang Undang-Undang Enakmen Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Pemakaian 2026) turut dijadualkan untuk dibentangkan pada hari terakhir persidangan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan antara 17 pimpinan parti itu di Perak yang dikenakan tindakan pemecatan oleh Lembaga Disiplin kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Parti.
Turut dikenakan tindakan sama ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob serta Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.
Pada 19 April tahun lalu, Perikatan Nasional (PN) Perak dilaporkan telah mengemukakan surat kepada Pejabat Speaker DUN bagi memohon pertukaran tempat duduk melibatkan dua ADUN daripada Bersatu.
Cadangan tersebut melibatkan pertukaran antara Zainol Fadzi dan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.
Bagaimanapun, pelaksanaan pertukaran itu tidak sepenuhnya menepati permohonan apabila hanya tempat duduk Nadziruddin dipinda, manakala Zainol Fadzi kekal di kedudukan asal. – KOSMO! ONLINE














