BALING – Kira-kira empat kampung di mukim Kupang dan Bakai, di sini dilanda banjir susulan hujan lebat sejak pukul 4 petang tadi.
Antara kampung terjejas ialah Kampung Hangus, Kampung Bendang Pecah dan Kampung Bukit Iboi di mukim Kupang serta Kampung Sedim di mukim Bakai.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, hujan lebat sejak pukul 4 petang hingga pukul 9 malam tadi mengakibatkan Sungai Kupang melimpah ke kawasan kampung berhampiran.
“Setakat ini terdapat empat rumah dinaiki air dan keadaan masih berjaga-jaga kerana masih hujan, ” katanya di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan penduduk kampung berhampiran sungai agar berwaspada dan segera berpindah jika air sungai melimpah untuk mengelak kejadian tidak diingini. – KOSMO! ONLINE














