SEREMBAN – Seramai 66 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi selama lebih 15 jam di 17 lokasi termasuk sebuah restoran popular semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, dalam operasi bermula pukul 10 pagi itu, seramai 128 warga asing diperiksa dan sebahagian besar mereka ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah atau tinggal lebih masa yang dibenarkan.
“Seramai 61 lelaki dan lima wanita ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Nepal, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Myanmar dan India.
“Kesalahan yang dikenal pasti termasuklah tiada pas atau dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa, dan lain-lain pelanggaran di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya kepada pemberita.
Operasi yang dijalankan hasil aduan orang awam dan risikan selama seminggu itu dilaksanakan tanpa sebarang insiden, dengan semua laluan dikepung menyebabkan tiada PATI yang dapat meloloskan diri. – KOSMO! ONLINE














