JOHOR BAHRU – Kegiatan licik sindiket ‘sedut diesel’ yang dipercayai aktif menyeleweng minyak untuk dijual ke pasaran gelap akhirnya terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor di Kawasan Perindustrian Sri Purnama, di sini, hari ini.
Dalam serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu, tiga lelaki tempatan berusia 20 hingga 40 tahun yang dipercayai menjadi dalang utama kegiatan haram berkenaan, sekali gus menamatkan operasi mereka yang dipercayai sudah lama aktif.
Pengarah KPDN Negeri Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, sindiket tersebut dikesan menggunakan lori yang diubah suai khas dengan pemasangan tangki bagi menyedut dan mengumpul minyak diesel dalam kuantiti besar secara tidak sah.
“Pemeriksaan mendapati sebuah lori mengandungi tiga tangki jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berisi kira-kira 3,000 liter diesel yang dipercayai disedut sebelum dikumpulkan untuk dijual.
“Turut ditemui sebuah lori tangki lain yang membawa tambahan 300 liter diesel, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah 3,300 liter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Lilis Saslinda berkata, siasatan awal mendedahkan modus operandi sindiket adalah ‘menyedut’ diesel daripada sumber tertentu sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk dipasarkan secara haram kepada pihak tidak bertanggungjawab.
Jelasnya, dalam serbuan sama, pihak berkuasa turut merampas pelbagai peralatan termasuk pam, hos, mesin pengukur serta dokumen pembelian yang dipercayai digunakan bagi melancarkan kegiatan tersebut.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM73,296 dan kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jika sabit kesalahan, individu terlibat berdepan hukuman berat termasuk denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun, manakala hukuman lebih tegas menanti bagi kesalahan berulang. – KOSMO! ONLINE














