PETALING JAYA – Johor Darul Ta’zim (JDT) menyambut baik hasrat Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon untuk mengadakan perbincangan bersama kelab tempatan bagi menyelesaikan masalah kewangan dalam Liga Malaysia (Liga M).
Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim, Luis Garcia menjelaskan pihaknya begitu tertarik untuk mengetahui idea penyelesaian yang mahu diketengahkan dalam perbincangan berkenaan.
“Saya tertarik dengan kenyataan terbaru Dr. Johan Kamal, Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC bahawa beliau mempunyai penyelesaian bagi masalah kewangan dalam Liga Malaysia.
“Saya percaya kita wajar mengadakan sesi perbincangan ini bersama semua pasukan kerana kita perlu mengetahui apakah idea penyelesaian beliau. Saya berbesar hati dapat bermain di peringkat tertinggi antarabangsa serta bekerja dengan organisasi-organisasi bertaraf dunia.
“Saya amat ingin mengetahui apakah penyelesaian yang dimiliki oleh Dr. Johan berdasarkan pengalaman dan pengetahuan luas beliau dalam bola sepak Malaysia dan antarabangsa. Saya berharap perbincangan bersama semua pasukan ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.
Sebelum ini, Dr. Johan dalam laporan media tempatan mencadangkan satu sesi meja bulat dapat diadakan bagi mencari idea penyelesaian isu kewangan dan sudah pun mendapat sambutan beberapa lagi kelab.
Untuk rekod, beberapa pasukan seperti Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kelantan FC dan Sri Pahang sudah pun ‘gulung tikar’ malah ketika ini, beberapa pasukan Liga Super dilaporkan sedang dihimpit masalah tunggakan gaji dan rekod lampau menunjukan terdapat kelab pernah dikenakan hukuman oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). – KOSMO! ONLINE














