fbpx
Antara pekerja asing yang diperiksa dalam operasi JPN di sebuah kilang di Bukit Raja, Klang.

‘Rakan suruh buang MyKad palsu selepas dapat kerja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – “Rakan cakap lepas pakai kena buang IC (MyKad) palsu yang dibeli.”

Demikian pengakuan seorang pekerja warga Indonesia yang ditahan dalam Op Roda oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya kira-kira pukul 2 petang tadi kerana dipercayai menggunakan MyKad palsu untuk mendapatkan kerja di sebuah kilang di Bukit Raja di sini hari ini.

Wanita yang mahu dikenali sebagai Masrina, 42, mendakwa, dia membeli MyKad palsu daripada kenalan rakannya dengan bayaran RM300 kira-kira setahun lalu.

“MyKad itu sudah lama saya buang dalam tong sampah. Saya tidak tahu kenapa rakan suruh buang, tetapi kerana takut saya ikut sahaja walaupun tahu ia salah,” katanya.

Masrina merupakan antara 46 warga asing terdiri daripada 25 wanita dan 21 lelaki berusia 20 hingga 45 tahun yang dipercayai menggunakan dokumen pengenalan milik orang lain serta MyKad palsu.

Tinjauan mendapati segelintir warga asing cuba melarikan diri dan menyorok di dalam kotak, namun mereka berjaya ditahan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPN, Mazhad Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati pekerja asing tersebut diuruskan oleh ejen untuk bekerja di kilang berkenaan.

“JPN sedang dalam tindakan mengenal pasti ejen tersebut bagi membantu siasatan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990,” katanya yang memberitahu operasi turut disertai Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN