fbpx
Antara premis yang disita selepas beroperasi secara haram di sekitar Kuala Selangor.

Premis warga asing kena serbu MPKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA SELANGOR – Kegiatan premis perniagaan dipercayai dikendalikan warga asing secara haram sejak tiga bulan lalu, terbongkar selepas digempur dalam Operasi Bersepadu Premis Warga Asing di beberapa lokasi sekitar daerah ini, semalam.

Operasi bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang melibatkan kawasan Kuala Selangor, Sungai Buloh dan Jeram dengan kekuatan 56 anggota daripada pelbagai agensi penguatkuasaan.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, sebanyak 13 premis melibatkan premis cuci kenderaan, kedai runcit dan perkhidmatan lain telah diperiksa dalam operasi tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati sembilan premis beroperasi manakala empat lagi tidak beroperasi ketika pemantauan dijalankan.

“Pelbagai tindakan penguatkuasaan diambil termasuk kompaun, notis memberhentikan perniagaan, penutupan premis serta sitaan peralatan bagi kesalahan melanggar undang-undang,” katanya hari ini.

Tambah beliau, antara kesalahan dikesan ialah menjalankan perniagaan tanpa lesen di bawah Undang-Undang kecil (UKK) 3, melanggar syarat lesen kerana tidak menyediakan pekerja tempatan di bawah UUK 4(4)(c) serta mempamerkan iklan tanpa lesen di bawah UUK 7.

Katanya, terdapat juga premis gagal menurunkan iklan rosak di bawah UUK 21(1)(a) Undang-Undang Kecil Iklan (MDKS) 2007 selain kesalahan tidak menjaga kebersihan premis di bawah UUK 17.

“Turut dikesan kesalahan membuang sesuatu ke dalam longkang serta meninggalkan barangan di belakang premis di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007,” jelasnya.

Beliau berkata, tindakan juga diambil di bawah Seksyen 46(1)(d) dan Seksyen 70(11), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) berkaitan halangan di tempat awam serta struktur bangunan.

Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut menyita pelbagai peralatan perniagaan antaranya mesin vakum, mesin water jet, tong snow wash, pam water jet, pemampat udara dan mesin jahit pakaian.

“Secara keseluruhan, sebanyak 28 kompaun dikeluarkan, sembilan notis pelbagai kesalahan dikeluarkan dan tiga tindakan sitaan dilaksanakan.

“Selain itu, seramai 15 pekerja warga asing turut ditahan oleh Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut atas pelbagai kesalahan berkaitan imigresen,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN