fbpx
Anggota polis membawa Muhamad Azhar (dua dari kiri) untuk didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Krai hari ini. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Penjual kereta tipu jual Honda Civic lelong didenda RM7,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KRAI – Seorang penjual kereta didenda RM7,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menipu seorang lelaki dalam urusan penjualan kereta jenis Honda Civic lelong pada Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Muhamad Azhar Muhamad Riski, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu Mohd. Tabliq Abdullah, 37, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa dia merupakan penjual kereta lelong menggunakan nama Syarikat Azhar Motor Enterprise.

Perbuatan dengan niat curang itu telah memperdaya Mohd. Tabliq untuk membeli sebuah kereta jenis Honda Civic yang mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM37,000 melalui tiga transaksi ke akaun Agro Bank milik syarikat berkenaan.

Tertuduh bagaimanapun mengetahui urusan jual beli itu adalah palsu dan tidak berniat untuk menyerahkan kereta tersebut seperti dijanjikan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Budi di sini antara 11 hingga 18 Ogos 2025.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mazlinda Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Farazalila Fauzi.

Terdahulu, Farazalila memohon hukuman denda yang rendah dengan alasan tertuduh sebagai penjual kereta yang tidak mempunyai pendapatan tetap selain perlu menanggung isteri, tiga anak masih belajar dan bapanya yang uzur.

Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM7,500 dan hukuman penjara selama 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh kemudian membayar denda yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN