KUALA LUMPUR – Empat gerai penjaja dan sebuah restoran disita dalam satu operasi khas penguatkuasaan di sekitar Desa Setapak dan Taman Bunga Raya, Wangsa Maju, semalam.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dijalankan terhadap beberapa premis termasuk restoran serta gerai makanan dan minuman yang didapati beroperasi tanpa lesen selain menghalang laluan awam.
“Pemeriksaan dan siasatan telah dijalankan ke atas aktiviti perniagaan yang beroperasi tanpa lesen serta membuat halangan di laluan siar kaki, petak parkir dan tempat awam. Terdapat juga tiga aktiviti perniagaan yang dikendalikan oleh warga negara asing,” katanya.
Menurut DBKL, hasil tindakan penguatkuasaan tersebut, sebanyak empat gerai penjaja dan sebuah restoran dikenakan tindakan sita serta-merta.
“Tindakan sita dan pindah halangan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Pelbagai peralatan perniagaan seperti kerusi, meja, tong ais dan payung turut disita sebelum dibawa ke Setor Sitaan DBKL untuk tujuan rekod dan dokumentasi,” katanya.
DBKL berkata, pemantauan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan bagi memastikan pematuhan undang-undang selain aduan boleh menyadisalurkan menerusi pautan rasmi DBKL di https://adukl.dbkl.gov.my/. – KOSMO! ONLINE














