PETALING JAYA – Kementerian Kewangan (MOF) hari ini menjelaskan harga minyak mentah global yang menurun ketika ini tidak menyebabkan harga petrol dan diesel di pam turun dengan serta-merta.
Kementerian itu menerusi perkongsian di Facebook berkata, harga runcit bahan api di stesen minyak ditentukan berdasarkan purata harga minggu sebelumnya, bukannya harga pasaran semasa.
“Harga pam ditentukan berdasarkan purata harga minggu lepas, bukan harga hari ini,” katanya.
MOF berkata, bekalan bahan api semasa juga dibeli pada harga lebih tinggi sebelum ini dan masih mempengaruhi harga jualan semasa di pasaran tempatan.
“Harga minyak global melonjak sejak lima minggu lalu meningkatkan kos termasuk logistik dan insurans. Harga semasa masih mencerminkan kos bekalan terdahulu yang tinggi sekitar AS$150 setong (petrol) dan AS$250 setong (diesel),” jelasnya.
Pada masa sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, harga minyak bersubsidi dikekalkan demi menjaga kesejahteraan rakyat selain membantu mengawal kenaikan harga barangan.
Terdahulu, MOF memaklumkan harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 9 hingga 15 April ini meningkat kepada RM6.72 seliter, berbanding RM6.02 sebelum ini.
Harga RON97 tanpa subsidi pula meningkat kepada RM5.35 seliter dan RON95 meningkat kepada RM4.27 seliter.
Bagaimanapun kerajaan masih mengekalkan harga bersubsidi secara bersasar kepada rakyat dan sektor tertentu.
Harga RON95 menerusi Budi Madani RON95 (Budi95) dikekalkan RM1.99 seliter, manakala diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula RM2.15 seliter. – KOSMO! ONLINE














