LANGKAWI – Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) menyatakan kemasukan pelancong ke pulau peranginan ini turut ditampung oleh feri Roll On Roll Off (Roro) susulan pengurangan perjalanan feri penumpang sejak bulan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Iskandar Mohd. Kaus berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan kementerian berkaitan bagi menyelesaikan isu perjalanan feri di pulau peranginan ini.
“Kita tidak menafikan pengurangan perjalanan feri akan mengganggu jumlah kemasukan pelancong ke Langkawi. Saya melihat feri Roro dipenuhi penumpang yang tidak membawa kenderaan semasa dalam perjalanan balik dari mesyuarat di Putrajaya baru-baru ini,” katanya selepas menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat penggantian karpet Masjid Nurul Islam, di Ayer Hangat, di sini hari ini.
Menurut beliau, pergolakan di Asia Barat yang mencetuskan isu ekonomi global dijangka turut menjejaskan kemasukan pelancong ke daerah ini yang menggunakan penerbangan transit di negara-negara terbabit.
Setakat Februari lalu, Langkawi mencatatkan kemasukan seramai 452,775 pelancong. – KOSMO! ONLINE














