KUALA LUMPUR – Kejutan demi kejutan tercipta pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2026 yang berlangsung di Ningbo, China apabila ramai pemain ternama tumbang dan gagal melepasi pusingan pertama.
Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjadi mangsa terbaharu apabila terpaksa akur untuk meninggalkan kejohanan tersebut lebih awal selepas tewas kepada pasangan Thailand, Chaloempon Charoenkitamorn-Worrapol Thongsa Nga.
Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Sukan Olimpik Ningbo sebentar tadi, bekas gandingan No.1 dunia itu menelan hakikat cukup perit apabila tewas dalam aksi tiga set 22-24, 21-18, 11-21.
Turun sebagai pilihan ketujuh kejohanan, pasangan yang lebih dikenali dengan julukan DinFei itu berdepan tentangan sengit beregu No.55 dunia berkenaan biarpun pada awalnya memimpin perlawanan.
Tewas 22-24 di set pertama, Sze Fei-Izzuddin kemudiannya kembali memperkemaskan permainan pada aksi set kedua dan ia membuahkan hasil apabila mereka berjaya mencatat kemenangan dan mengheret perlawanan ke set penentuan.
Bagaimanapun, momentum itu gagal dikekalkan beregu negara apabila menyaksikan pasangan Thailand mendominasi permainan sehingga berjaya menjarakkan kedudukan dengan jurang mata cukup besar 11-4.
Walaupun cuba untuk merapatkan kedudukan ketika perlawanan sudah hampir ke penghujung tetapi ia seperti sia-sia memandangkan pasukan lawan berada jauh di hadapan sebelum Sze Fei-Izzuddin tewas 11-21 di set penentuan.
Selepas penyingkiran Sze Fei-Izzuddin, cabaran Malaysia dalam acara beregu lelaki kini hanya digalas bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan berdepan wakil tuan rumah, Hu Ke Yuan-Lin Xiang Yi di pusingan kedua esok. – KOSMO! ONLINE














