fbpx
Elisya Sandha sangat menghormati Aliff Aziz dan menyifatkan pelakon Singapura itu berbakat besar.

‘Aliff bagus, kehidupan lamanya memang saya tak campur’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Saya seorang pelakon yang profesional, tak masuk campur urusan peribadi pelakon gandingan saya.”

Itu kenyataan pelakon Elisya Sandha saat ditanya tentang gandingan baharunya iaitu pelakon dan penyanyi kontroversi, Aliff Aziz dalam drama Madu Atau Racun.

Menurut Elisya atau nama lengkapnya Nur Elisya Sandha Hassan, 27, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana baginya, apa yang lebih penting adalah keberkesanan lakonan masing-masing.

“Bila saya dapat tawaran bergandingan dengan Aliff Aziz, saya terima dengan hati terbuka. Apa sahaja yang berlaku dalam hidupnya di masa lalu atau apa sahaja kisah peribadinya saya tak campur.

“Yang saya tahu kami masing-masing pelakon. Bila masuk set semua fokus menjayakan karakter masing-masing sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka IQIYI, di sini, semalam.

Adik kepada aktres Fasha Sandha itu turut memuji sikap profesional Aliff selama lebih sebulan mereka bekerjasama.

“Saya hormati Aliff sebagai seorang pelakon kerana dia sangat profesional. Mudah untuk berbincang dan bekerja dengannya. Tak semua pelakon ada sikap sebegini. Kadang-kadang ada pelakon yang ingat kita cuba nak mengajar mereka. Tetapi Aliff bagus,” jelasnya.

Selain Aliff, drama arahan Eyra Rahman itu turut dibintangi oleh seorang lagi pelakon sensasi iaitu Uqasha Senrose.

Ketika menjalani penggambaran drama ini, Uqasha turut berhadapan dengan episod duka dalam rumah tangganya.

Namun kata Elisya, kesemua mereka bersikap profesional dan hanya menumpukan perhatian kepada kerja masing-masing.

“Kami semua gembira di set penggambaran. Masing-masing saling berdiskusi bagaimana untuk menjayakan setiap babak. Apa yang berlaku dalam kehidupan peribadi masing-masing kita tak bawa masuk dalam set. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar,” kongsinya.

Bercerita lanjut tentang wataknya dalam drama terbitan MIG itu, kata Elisya ini kali pertama dia membawa watak antagonis.

“Sejujurnya saya agak takut untuk menantikan reaksi penonton nanti kerana watak saya agak sensitif juga. Tetapi saya percaya seandainya saya dikecam itu bermaksud saya berjaya membawa karakter saya dengan baik.

“Saya tak boleh nak cerita dengan lebih lanjut tentang watak saya kerana nanti takut jadi ‘spoiler’ pula. Kena tonton sendiri pada bulan Jun ini di iQiyi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN