KUALA LUMPUR – Taktik sekumpulan penjenayah menyamar sebagai polis dengan melakukan samun bersenjata di Kepong tidak berpanjangan selepas enam lelaki ditahan dalam serbuan berasingan pada Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima tiga laporan berhubung kes samun melibatkan dua warga China dan seorang wanita Indonesia berusia 29 hingga 52 tahun.
Menurutnya, dalam kejadian pukul 5.30 hingga 7.30 pagi, 5 April lalu, enam suspek tersebut dipercayai memecah masuk kediaman mangsa sebelum melakukan samun.
“Salah seorang suspek mengacu objek menyerupai pistol kepada mangsa. Modus operandi kumpulan ini adalah menyamar sebagai pegawai polis dan menyasarkan kediaman warga asing.
“Seorang suspek merupakan anggota polis yang ditahan tugas kerana kesalahan dadah, manakala dua lagi dipercayai pengawal keselamatan yang menyalahgunakan lesen senjata api,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, suspek melarikan tiga buah kenderaan mewah iaitu Toyota Alphard, Rolls-Royce dan Bentley selain peti besi, wang tunai RM24,200 dan AS$1,200 (RM4,800), pelbagai barang kemas serta dua jongkong emas.
Anggaran keseluruhan kerugian yang dialami mangsa mencecah RM4.4 juta.
Jelasnya, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Sentul bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur berjaya menahan tiga suspek pada pukul 8.45 malam hari sama.
“Penahanan itu membawa kepada tangkapan tiga lagi lelaki berusia 31 hingga 51 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian sama di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Polis turut merampas dua pucuk pistol, lima buah kenderaan, wang tunai RM13,056, pelbagai mata wang asing, lapan buah telefon bimbit dan dua pas keselamatan.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395, Seksyen 397 serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan. Ujian saringan awal air kencing mendapati salah seorang suspek positif amphetamine.- KOSMO! ONLINE














