KUALA LUMPUR – Seramai 43 individu ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian rusuhan dan khianat di sebuah pusat hiburan di Cheras, di sini pada Ahad lalu.
Kesemua suspek yang menaiki trak polis tiba di Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields bagi proses permohonan reman pukul 10.33 pagi tadi. Difahamkan, tangkapan turut membabitkan suspek utama dipercayai warga China yang mengupah kumpulan terbabit.
Satu sidang media berhubung kes itu akan diadakan hari ini.
Media semalam melaporkan polis memberkas seramai 12 lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian khianat dan rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, beberapa kenderaan turut dirampas termasuk sebuah lori. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 kanun yang sama. – KOSMO! ONLINE














