KUALA LUMPUR – Skuad Tenaga Nasional Berhad (TNB) ThunderStars menaruh harapan tinggi untuk meraih gelaran trebel musim ini selepas diperkasakan 16 pemain yang memiliki status sebagai pemain kebangsaan.
Ketua jurulatih ThunderStars, Mohd. Madzli Ikmar Mohd. Nor melaungkan keyakinan tersebut selepas mengambil kira pasukan itu kini menghimpunkan pemain-pemain terbaik negara bagi menggalas cabaran.
Justeru, beliau percaya anak-anak buahnya sudah bersedia sepenuhnya untuk merangkul trofi pertama musim ini menjelang perlawanan Piala Sumbangsih menentang Pasukan Hoki Terengganu (THT) di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Sabtu nanti.
“Pihak pengurusan sudah meletakkan cabaran dan saya menyahutnya. Sudah pasti kami akan cuba untuk memenangi gelaran trebel pada tahun ini memandangkan semua pemain terbaik di Malaysia sudah bersama TNB.
“Tahun ini kami mengambil kira-kira 15 hingga 16 pemain berstatus kebangsaan dengan persiapan sudah dimulakan sejak Januari. Untuk perlawanan Sabtu ini, semua pemain sudah bersedia,” katanya.
Sebagai rekod, ini merupakan jumlah terbesar buat ThunderStars melibatkan pemain kebangsaan memandangkan sebelum ini mereka hanya memiliki 12 pemain kebangsaan.
Biarpun memiliki 16 pemain kebangsaan, namun berdasarkan peraturan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL), hanya lapan pemain dibenarkan untuk bermain dalam satu masa dan Madzli menganggap jumlah pemain kebangsaan bukan satu kelebihan.
“Tidak boleh dikatakan sebagai kelebihan kerana bola itu bulat. Semua pemain perlu berlari sepanjang perlawanan berlangsung dan jika sebaliknya, kami akan kalah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














