PETALING JAYA – Pengguna media sosial beramai-ramai meninggalkan komen penghargaan dan ucapan selamat bersara kepada Pakar Perunding Perubatan dan Nefrologi Hospital Putrajaya, Dr. Rafidah Abdullah yang bersara pilihan berkuat kuasa hari ini.
Ucapan penghargaan dan selamat bersara itu dimuat menerusi komen-komen pada hantaran Facebook Dr. Rafidah selepas beliau memuat naik surat Pemberitahuan Kelulusan Persaraan Pilihan dengan tarikh kuat kuasa 7 April 2026.
Beliau yang aktif di media sosial berkongsi maklumat dan kesedaran berkaitan kesihatan kepada rakyat Malaysia turut mengucapkan kesyukuran terhadap status persaraannya daripada perkhidmatan awam.
“Alhamdulillah, hari ini saya sudah berstatus pencen. Surat ini sudah berkuat kuasa. Bukan lagi penjawat awam. Jadi, saya tidak terikat lagi dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Peraturan 19 tentang larangan membuat kenyataan di media sosial.
“Peraturan yang, pada pendapat saya perlu dimansuhkan. Boleh hentikan stalk (intai) akaun-akaun media sosial saya. Selama ini buang masa sahaja pun. Ingat, masa yang dibuang tidak boleh dikembalikan.
“Buatlah kerja lebih berfaedah, kerja yang boleh membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara. Bahu saya terasa ringan. Kebebasan bersuara saya dikembalikan,” katanya.
Sementara itu, orang ramai turut mendoakan persaraan Dr. Rafidah selain berterima kasih kepadanya sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
“Terima kasih atas jasa dan penat lelah sepanjang perkhidmatan. Semoga hari-hari akan datang lebih baik dan dipermudah segala urusan. Selamat bersara,” komen Mohamad Feroz Othman.
“Seronoknya, selamat bersara Dr. Rafidah daripada perkhidmatan awam. Moga doktor sentiasa dirahmati Allah SWT,” kata Kak Ziela.
“Tahniah, hari ini kebebasan bersuara untuk anda. Terima kasih Dr. Rafidah,” komen Samasu Johari. – KOSMO! ONLINE














