MADRID – Jurulatih Real Madrid, Alvaro Arbeloa menggesa anak-anak buahnya supaya mengalihkan sepenuh fokus terhadap suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) menentang Bayern Munich di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Real berada dalam situasi cukup genting ketika ini, terutamanya selepas mereka tewas 1-2 kepada Mallorca Sabtu lalu sehingga menjejaskan peluang untuk merangkul kejuaraan La Liga musim ini.
Berdasarkan rekod pasukan, ini merupakan musim kedua terburuk Los Blancos dalam 17 musim terakhir apabila sudah mencatat 10 kekalahan sepanjang kempen 2025/26 tidak termasuk saingan Piala Dunia Kelab (CWC).
Arbeloa berkata, beliau menaruh sepenuh kepercayaan terhadap kemampuan barisan pemainnya untuk melakukan kebangkitan, sekali gus memastikan mereka mendapatkan semula rentak kemenangan.
“Saya tahu kemampuan pemain-pemain saya dan mereka tahu perlawanan Selasa ini (awal pagi esok) sangat penting. Dalam bola sepak, kadang-kadang semuanya tidak seperti yang kita harapkan.
“Memang benar kami tewas dalam aksi terdahulu tetapi saya yakin penyokong-penyokong Real akan terus memberikan sokongan ketika bertemu Bayern. Kami perlu tukar ‘gear’ untuk perlawanan tersebut,” katanya.
Atas kertas, Bayern dianggap sebagai pasukan pilihan untuk meneruskan kemaraan ke pusingan separuh akhir berdasarkan prestasi semasa selain kemenangan besar yang dicatat dalam setiap perlawanan.
Tambah Arbeloa, walaupun Real menampilkan aksi tidak konsisten sepanjang saingan musim ini, namun mereka sentiasa membuktikan Real antara pasukan terbaik dunia setiap kali beraksi dalam Liga Juara-Juara.
“Pemain-pemain saya tahu betapa pentingnya perlawanan ini, jadi kami perlu melakukan persiapan terbaik. Memang kami tidak memiliki banyak masa, tetapi saya yakin dengan kemampuan pemain,” ujarnya. – AGENSI














