fbpx
ARSENAL perlu melupakan kekalahan pada aksi Piala FA dan memberi fokus memburu kemenangan ke atas Sporting untuk layak ke separuh akhir. - AFP

UCL: Arteta tagih aksi ‘harimau luka’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menggesa barisan pemainnya agar segera bangkit daripada episod duka yang meranapkan pasukan memburu ‘quadruple’ menjelang aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Sporting Lisbon, awal pagi esok.

Sebagai rekod, skuad The Gunners ketika ini ibarat ‘harimau terluka’ selepas tersingkir daripada saingan Piala FA susulan kekalahan mengejut 1-2 kepada kelab Liga Kejuaraan, Southampton, kelmarin.

Lebih malang, kekalahan tersebut hadir hanya dua minggu selepas mereka tewas 0-2 kepada Manchester City dalam aksi final Piala Liga Inggeris (EFL) sekali gus kehilangan peluang untuk memburu dua trofi musim ini.

Ini juga merupakan kekalahan kelima Arsenal dan kali pertama The Gunners tewas dalam dua perlawanan berturut-turut musim ini.

Bagaimanapun, Arteta kekal optimis dengan kemampuan anak buahnya untuk bangkit, malah menyifatkan tempoh sukar ini sebagai satu ujian penting dalam perjalanan mereka memburu kejuaraan yang lebih besar.

Menurut beliau, Arsenal tidak boleh terlalu lama terperangkap dengan kekecewaan, sebaliknya perlu segera bangkit dan memberi fokus sepenuhnya kepada aksi menentang Sporting yang dianggap sebagai salah satu perlawanan paling penting musim ini.

“Dalam satu musim, pasti ada detik mencabar seperti ini. Ini mungkin ujian pertama kami pada tahap sebegini, tetapi saya percaya ada cabaran yang lebih besar daripada ini.

“Jika ini dianggap tempoh sukar, kami perlu segera bangkit, menyesuaikan diri dan terus memberikan apa yang telah kami tunjukkan secara konsisten sepanjang musim,” katanya.

Dalam masa sama, Arteta tampil mempertahankan pemainnya daripada kritikan yang semakin memuncak, sambil menegaskan beliau sendiri akan memikul tanggungjawab terhadap prestasi pasukan.

“Saya sayangkan pemain saya. Apa yang mereka lakukan sepanjang sembilan bulan ini sangat luar biasa. Saya tidak akan mengkritik mereka hanya kerana dua kekalahan. Saya akan mempertahankan mereka lebih daripada sebelumnya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan sama, pemain tengah Christian Norgaard menegaskan bahawa pasukan tidak boleh terus tenggelam dalam kekecewaan, sebaliknya perlu segera mempamerkan reaksi positif.

“Sekarang bukan masa untuk kami merendahkan diri terlalu lama. Kami perlu kekal positif, berbincang sesama sendiri dan fokus kepada perlawanan menentang Sporting,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN