fbpx
Gambar hiasan

Sunway gagal dapatkan IJM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Usaha Sunway Bhd untuk mengambil alih IJM Corporation Bhd (IJM) tidak menjadi kenyataan apabila ia gagal mengumpul persetujuan lebih 50 peratus pemegang saham IJM setakat pukul lima petang semalam, sekali gus menamatkan tawaran dianggarkan bernilai RM11 bilion itu.

Kegagalan itu dilihat sebagai satu perkembangan penting dalam landskap korporat Malaysia, memandangkan kedua-dua syarikat merupakan pemain utama dalam sektor pembinaan dan pembangunan hartanah.

Antara faktor utama yang dilihat menggagalkan tawaran itu adalah perbezaan pandangan terhadap nilai jangka panjang IJM, dengan pihak IJM tidak bersedia untuk melepaskan kepentingan mereka pada harga yang dianggap tidak mencerminkan potensi masa depan syarikat.

Sunway dalam satu kenyataan berkata, tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk IJM telah luput berikutan penutupan penerimaan.

“Kami ingin merakamkan penghargaan ikhlas kami kepada semua pihak berkepentingan, rakan kongsi dan rakan-rakan kami yang telah meluangkan masa untuk menilai tawaran tersebut dan yang terus meletakkan kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap Sunway.

“Kami juga berterima kasih atas peluang untuk membentangkan kes kami dengan jelas dan telus kepada pasaran, dan kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara membina dengan kami sepanjang proses ini.

“Kami menghormati keputusan pemegang saham IJM dan hasil proses tersebut. Dalam sebarang transaksi pada skala sebesar ini, perspektif yang berbeza adalah natural dan kami mengiktiraf wacana awam yang telah mengiringi tawaran tersebut,” katanya.

Sunway pada 12 Januari lalu mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk membeli keseluruhan 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN