fbpx
Mohamad Azhar menunjukkan bungkusan ikan sirip yu kering pada sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara. Foto oleh AFIQ RAZALI/ KOSMO!

Sirip yu RM8.2 juta untuk restoran mewah dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Kegiatan membawa masuk sirip ikan yu kering bernilai RM8.2 juta bagi memenuhi permintaan restoran mewah di negara ini terbongkar apabila ditahan di Zon Bebas Pelabuhan Utara di sini, baru-baru ini.

Rampasan tersebut dibuat menerusi Op Petasan di Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 12 Februari, 2 Mac dan 9 Mac lalu selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesan kemasukan sirip ikan yu yang tidak memiliki permit import sah.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, kejayaan itu hasil pemeriksaan terhadap tiga buah kontena dagangan yang berasal dari sebuah negara di benua Amerika Selatan.

Katanya, hasil pemeriksaan telah menemui 35,660 kilogram (kg) sirip ikan yu kering dipercayai diimport tanpa permit sah.

“Berdasarkan siasatan awal mendapati harga sekilogram ikan sirip yu kering dianggarkan RM2,000.

“Kita percaya dagangan itu untuk pasaran tempatan terutama bagi restoran-restoran mewah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Difahamkan, sirip berkenaan daripada spesis ikan jerung biru atau nama spesifk Prionace glauca.

Menurut Mohamad Azhar, siasatan juga mendapati barangan itu dipercayai dibawa masuk oleh pengimport sama dari sebuah negara di benua Amerika Selatan.

Tambahnya, penghantaran tersebut dikesan tiba di Pelabuhan Klang pada 3 dan 19 Februari serta 7 Mac lalu.

“Modus operandinya adalah membuat ikrar dagangan palsu sebagai kulit ikan kering dan bahan makanan kering bagi mengelak dikesan JKDM.

“Nilai dagangan tersebut berjumlah RM7.1 juta manakala duti atau cukai terlibat dianggarkan RM1.1 juta,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pengimportan sirip ikan yu kering adalah tertakluk kepasa permit import dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta Konvensyen Perdagangan Antarabangsa mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam (CITES) dari Jabatan Perikanan Malaysia (DOF)

“Kita akan melakukan semak silang terhadap Maqis dan DOF mengenai lesen pengimport itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (a) dan 133 (1) (a) Akta Kastam 1967,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN