fbpx
GAMBAR HIASAN

Siang panas, malam hujan punca banyak pokok tumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kes pokok tumbang di seluruh negara menunjukkan peningkatan ketara susulan cuaca tidak menentu membabitkan ribut dan angin kencang sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, terdapat kawasan tertentu merekodkan sehingga 20 kes dalam tempoh sehari.

Menurut beliau, situasi cuaca semasa yang panas pada waktu siang sebelum disusuli hujan serta ribut pada sebelah petang menjadi antara faktor utama peningkatan insiden tersebut.

“Ketika ini kita berdepan dua keadaan iaitu cuaca panas dan angin kencang. Perubahan ini menyebabkan risiko pokok tumbang meningkat,” katanya selepas Majlis Perasmian Pusat Pembelajaran Kebombaan Komuniti di Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas, di sini hari ini.

Beliau berkata, trend kebakaran terbuka menunjukkan penurunan ketara susulan kekerapan hujan yang berlaku hampir setiap hari sejak kebelakangan ini.

“Jika minggu lalu lebih 240 kes sehari, kini menurun kepada sekitar 119 hingga 120 kes. Kebakaran besar melebihi dua hektar juga hampir sifar,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak JBPM kini memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi yang dijangka mengalami ribut selain meningkatkan kesiapsiagaan balai bomba bagi menghadapi peningkatan kes pokok tumbang.

Jelasnya, fenomena peralihan monsun yang sedang berlaku turut menyumbang kepada kejadian ribut petir dan angin kencang bersifat setempat.

“Dalam tempoh ini, ribut berlaku secara lokal dengan angin yang kuat dan risiko utama ialah pokok tumbang. Justeru, kita arahkan balai memberi fokus tambahan kepada kesiapsiagaan menghadapi situasi ini,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN