KOTA BHARU – Empat anggota polis direman lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes meminta dan menerima rasuah sebanyak RM12,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang pemandu kereta yang membawa daun ketum pada Disember tahun lalu.
Perintah reman bermula hari ini hingga Sabtu terhadap keempat-empat lelaki yang berusia dalam lingkungan 22 hingga 42 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.
Perintah reman tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap anggota polis berpangkat sarjan, koperal dan dua konstabel itu mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, keempat-empat anggota polis yang bertugas di salah sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Kelantan itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi hingga 1 tengah hari di pejabat masing-masing semalam.
Sumber itu berkata, mereka ditahan selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didapati membawa daun ketum di dalam keretanya.
“Kesemua anggota polis itu dipercayai menerima rasuah tersebut melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik pihak ketiga.
“Siasatan awal mendapati, mereka disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada Disember 2025,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan empat anggota polis itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE














