MELAKA – Seorang remaja maut, manakala rakannya cedera selepas motosikal ditunggang mereka merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di susur laluan keluar di Kilometer 216 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 petang itu, mangsa berusia 18 tahun yang menunggang motosikal meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala, manakala pembonceng juga 18 tahun patah pergelangan tangan serta cedera di bahagian kepala.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat berkata, ketika kejadian kedua-dua rakan itu dalam perjalanan dari Seremban ke Melaka, manakala lori berkenaan dari Kuala Lumpur menuju selatan.
Ujarnya, lori tersebut bagaimanapun berhenti di susur laluan keluar ke laluan utama lebuh raya tanpa sebarang tanda kecemasan atau tanda amaran selepas mengalami masalah teknikal pada bahagian tayar belakang sebelah kanan.
“Tidak lama kemudian, motosikal berkenaan dipercayai gagal dikawal lalu melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tersebut.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pembonceng cedera di bahagian kepala serta patah pergelangan tangan dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.
Katanya, ketika kejadian kedua-dua remaja berkenaan dipercayai baru menghantar kasut kepada abang pembonceng dan menghala balik ke Melaka.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














