PETALING JAYA – Institusi pendidikan tinggi di negara ini tidak boleh lagi kekal dengan pendekatan lama yang hanya berpusat di kampus, sebaliknya perlu bergerak selari dengan kehendak industri semasa.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perubahan landskap global yang kini dipacu oleh persaingan, gangguan teknologi dan kuasa ekonomi menuntut anjakan besar dalam sistem pendidikan tinggi negara.
Menurut beliau, konsep pendidikan tinggi tidak boleh lagi hanya tertumpu kepada pembangunan fizikal kampus, sebaliknya perlu diperluas ke dalam dunia industri.
“Universiti perlu berada dalam ekosistem industri, bukan hanya di dalam kampus semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Public-Private Research Network (PPRN) 2026 di Wyndham Grand, Kuala Kumpur, hari ini.
Zambry menjelaskan, kerajaan kini memperkenalkan pendekatan baharu menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang merombak konsep pendidikan kepada model lebih fleksibel.
Katanya, antara pendekatan tersebut termasuk pelaksanaan konsep 2U 2I iaitu dua tahun di universiti dan dua tahun di industri, selain membuka ruang pembelajaran terus di sektor industri.
Dalam masa sama, beliau berkata Malaysia kini berada di kedudukan ke-34 daripada 139 ekonomi dalam Global Innovation Index (GII) 2025, sekali gus membuktikan potensi negara dalam bidang inovasi.
Namun katanya, pencapaian itu tidak boleh menyebabkan negara berasa selesa kerana masih banyak ruang untuk penambahbaikan.
“Dengan perancangan yang baik, kita sasarkan Malaysia berada dalam kelompok 20 terbaik dunia menjelang 2030,” ujarnya.
Beliau turut menyasarkan peningkatan jumlah paten negara daripada 968 kepada 2,000 dalam tempoh sama bagi memperkukuh ekosistem penyelidikan dan pengkomersialan.
Dalam pada itu, Zambry menegaskan keperluan kerjasama erat antara universiti, industri dan kerajaan bagi memastikan penyelidikan memberi impak sebenar kepada ekonomi negara. – KOSMO! ONLINE






