BALING – Seorang pekerja balak maut akibat dihempap dahan pokok semasa melakukan kerja-kerja pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, Tanjung Pari, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.38 tengah hari itu, mangsa, Mohd. Zaini Che Pin, 45, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Anak Richard Joe berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang menebang sebatang pokok di kawasan tersebut.
“Sewaktu proses menebang pokok dilakukan, satu dahan dikatakan telah patah dan jatuh menghempap mangsa yang berada di bawah pokok tersebut,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dikejarkan ke hospital oleh rakan sekerja bagi mendapatkan rawatan dan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Baling bagi tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE






