TANJUNG MALIM – Lelaki yang meninggal dunia kerana terperangkap dalam sebuah stor berkunci di sebuah fasiliti sukan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada awal pagi tadi bukan kakitangan universiti tersebut.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, mangsa yang dikenali Mohd. Radzi Ariffin, 53, merupakan pekerja syarikat swasta – UPSI Sports Bowling yang beroperasi di universiti itu.
“Beliau disyaki mengalami serangan jantung dan proses bedah siasat sedang dilaksanakan di Hospital Slim River. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Bernam.
“Pihak syarikat akan mengeluarkan kenyataan berhubung kejadian dan UPSI akan sentiasa memantau dan memberikan bantuan sewajarnya kepada keluarga mangsa,” katanya.
Difahamkan, pusat boling itu diuruskan oleh UPSI Holdings Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat universiti tersebut. – KOSMO! ONLINE














