fbpx
Ahmad Zahid (dua dari kanan) melihat produk IKS pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri Perda Halal Park di Kubang Menerong, hari ini. Foto oleh DANIAL SAAD/ KOSMO!

KKDW mahu lahirkan usahawan ‘berani tarung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited memperluaskan akses pasaran global kepada pengusaha luar bandar dengan menghubungkan mereka dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta rangkaian pasar raya besar di luar negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya berusaha memastikan setiap produk yang dihasilkan menerusi inisiatif berkenaan mempunyai ‘pasport’ untuk menembusi pasaran ASEAN, Timur Tengah, Eropah dan Asia Timur.

Menurutnya, usaha itu dilaksanakan melalui platform perdagangan digital serta pameran antarabangsa seperti Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS).

“Aspirasi utama KKDW adalah untuk mencipta lebih banyak ‘Halal Champions’ dalam kalangan Bumiputera. Kita mahu melahirkan usahawan yang bukan sahaja berdaya tahan dalam pasaran tempatan, tetapi ‘berani tarung’ di pasaran antarabangsa.

“Melalui pembangunan wilayah yang seimbang, kita berharap pusat industri seperti ini dapat menjana peluang ekonomi kepada penduduk setempat, mengurangkan penghijrahan belia ke kota dan meningkatkan taraf hidup komuniti luar bandar secara keseluruhannya,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Industri, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Halal Park di Kubang Menerong di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan turut mempergiat usaha mengindustrikan perusahaan luar bandar menerusi penyediaan infrastruktur yang lebih kondusif bagi menyokong pertumbuhan sektor berkenaan.

“Langkah itu merangkumi pemerkasaan modal insan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disesuaikan dengan keperluan industri halal moden,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN