KUALA TERENGGANU – Gara-gara menjual garam bukit tanpa kandungan iodin disyaratkan kerajaan, seorang pengusaha kilang didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Iffah Nabihah Mohd. Ishak menjatuhkan hukuman demikian selepas orang kena saman (OKS), Khalilah Sa’adah Jamaludin, 42, yang juga Pengarah Raheel Ahmad Enterprise membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Khalilah Sa’adah didakwa menjual garam bukit yang tidak mematuhi piawaian ditetapkan.
Pemeriksaan mendapati garam bukit yang dipasarkan di kilang Raheel Ahmad Enterprise milik OKS tidak mengandungi iodin seperti disyaratkan Kementerian Kesihatan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan Khalilah Sa’adah di kilang miliknya yang terletak di Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus pada pukul 10.30 pagi, 15 Oktober 2025.
OKS didakwa mengikut Peraturan 285(1A) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, seorang pengusaha kafe di dalam Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) turut didenda RM1,500 oleh mahkamah sama atas kesalahan menjual ikan cencaru berlada tercemar. – KOSMO! ONLINE






