KUALA LUMPUR – Bimbang terhadap peningkatan kes pemandu mabuk meragut nyawa tidak berdosa, pelakon Irfan Zaini menggesa individu yang mengambil alkohol agar lebih cakna dan bertanggungjawab demi keselamatan pengguna jalan raya.
Ujar Irfan atau nama sebenarnya Muhammad Irfan Mohamed Zaini, 31, masih ramai peminum tegar memandang ringan soal keselamatan yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menggadaikan nyawa pengguna jalan raya lain.
“Memang sedih bila lihat perkara ini berlaku. Saya nak pesan, kalau seseorang mahu minum arak, balik rumah jangan memandu, ambillah perkhidmatan e-hailing.
“Jangan sesekali menyusahkan orang lain di jalan raya. Memang sangat berbahaya jika memandu dalam keadaan mabuk.
“Disebabkan kecuaian seorang, orang lain pula jadi mangsa. Lebih menyayat hati, mangsa itu ada keluarga, ada anak menunggu di rumah,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bintang filem Blood Brothers: Bara Naga itu juga turut menyeru orang ramai agar memainkan peranan menegur rakan yang berada dalam keadaan tidak sesuai untuk memandu.
“Pesanan saya, kalau nampak rakan minum, tolong nasihat mereka supaya tidak memandu selepas itu. Ambillah e-hailing atau minta bantuan kawan lain hantar pulang.
“Jangan benarkan mereka memandu sendiri. Kita mungkin rasa perkara kecil, tetapi kesannya sangat besar,” ujarnya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka filem Terbang di sini, semalam.
Sebelum ini, kes melibatkan pemandu mabuk dilihat meningkat dan membimbangkan, malah ada berakhir dengan tragedi meragut nyawa sekali gus mencetuskan keresahan dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE














