TANJUNG MALIM – Seorang kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ditemui meninggal dunia di bilik stor peralatan pembersihan yang berkunci di UPSI Sports Bowl di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 1.57 pagi tadi.
“Terdapat seorang mangsa lelaki terperangkap dalam bilik stor peralatan pembersihan yang berkunci dan disahkan maut di lokasi oleh KKM.
“Pintu telah dibuka oleh Polis Bantuan UPSI sebaik bomba tiba di lokasi. Ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan Konsep SAVER.
“Anggota melaksanakan kerja-kerja pemantauan seterusnya menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa dikenali sebagai Mohd. Radzi Ariffin, 53.
“Operasi dilaksanakan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim itu terkawal pada pukul 2.17 pagi dan tamat sepenuhnya pada pukul 2.36 pukul,” katanya. – KOSMO! ONLINE














