PETALING JAYA – Memberi bayangan seolah-olah berhadapan dengan individu narsisistik dalam hidup, penyanyi Kaka Azraff mendedahkan sikap tersebut yang bijak memanipulasi keadaan bagi membuatkan orang lain tampak bersalah.
Kaka atau namanya sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, 36, berkata individu terbabit licik menggunakan segala peluang untuk membolehkan mereka sentiasa menang dalam apa jua situasi.
“Manipulasi emosi. Dia boleh pusing jadikan semua salah kau. Tiba-tiba fasal kau marah, bukan fasal dia tipu kau.
“Sampai mampus hidup jadi orang yang bersalah sebab dia sahaja betul. Orang lain semua nak kenakan dia. Tak senang, dia asyik nak menang,” katanya menerusi Threads.
Penyanyi lagu Gila itu turut menyatakan hakikatnya tekanan daripada individu manipulatif merupakan bentuk buli secara emosi dan mental.
Malah dia menyarankan agar mereka yang berada dalam lingkungan orang narsisistik agar segera keluar dari lingkungan toksik itu.
“Itu buli secara emosi dan mental sebenarnya. Kalau ada yang dalam keadaan ini, berhati-hati. Selamatkan diri.
“Jangan bazir masa ubah orang. Kau buang masa. Baik kau ubah diri dan gerak sendiri,” ujarnya.
Tidak berhenti menitipkan pesanan, Kaka turut menasihatkan seorang netizen yang meminta pandangan cara berhadapan individu sedemikian.
Katanya, pihak tersebut wajar angkat kaki dengan segera.
“Cari jalan keluar!,” tulisnya ringkas.
Menjengah ke ruangan komen, ramai sependapat dengannya yang menegaskan orang narsisistik suka menuding kesalahan kepada pihak lain.
“Paling benci jumpa orang narsisistik yang reverse psychology sampai buat kita rasa rendah diri dan serba salah, dia sahaja yang betul,” kata seorang pemilik akaun Threads.
Pada hantaran lain, katanya isu diketengahkan mempunyai kaitan dengan lagu baharunya berjudul Bully, sekali gus menegaskan tidak mampu berbuat apa-apa jika ada pihak terasa. – KOSMO! ONLINE














