fbpx
Zambry ketika sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Public - Private Research Network (PPRN) 2026 di Whyndham Grand, Kuala Lumpur. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

Isu rasuah di IPT tidak boleh dianggap terpencil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Isu rasuah dalam institusi pengajian tinggi (IPT) tidak boleh dianggap terpencil atau remeh, sebaliknya perlu ditangani secara serius tanpa kompromi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa atau rasuah, sama ada kecil atau besar, tetap merupakan satu kesalahan yang perlu diberi perhatian serius oleh semua pihak.

“Kita tidak boleh menganggap itu perkara enteng. Apa pun perkara yang mengaitkan penyalahgunaan kuasa ataupun rasuah di mana-mana institusi sama ada universiti, politeknik dan sebagainya perlu dipandang serius,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Public-Private Research Network (PPRN)
2026 di Wyndham Grand, Kuala Lumpur hari ini.

Namun, beliau menegur tindakan sesetengah pihak yang melabel IPT sebagai ‘lubuk rasuah’ sehingga memberi gambaran seolah-olah keseluruhan institusi pendidikan tinggi berada dalam keadaan kritikal.

Tambahnya, kementerian tidak pernah bertolak ansur terhadap sebarang isu rasuah dan memberi ruang penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan.

“Kita tidak menghalang SPRM untuk masuk dan membuat semakan kes tertentu. Kita beri kerjasama yang baik,” katanya.

Selain itu, beliau menegaskan kerjasama dengan Jabatan Audit Negara turut diperkukuh bagi memastikan pengurusan kewangan dan pelaksanaan projek di IPT sentiasa dipantau.

“Segala teguran yang diberikan oleh pihak Audit Negara, kita ambil tindakan. Ini antara mekanisme untuk pastikan penggunaan sumber kewangan dibuat dengan betul,” jelasnya.

Beliau turut mengakui masih terdapat ruang penambahbaikan dalam sistem sedia ada, namun menegaskan keadaan itu tidak boleh digambarkan seolah-olah keseluruhan IPT gagal berfungsi.

“Saya tidak mengatakan semuanya sempurna, tetapi tidaklah sampai universiti ini tidak boleh berfungsi langsung atau menjadi lubuk terhadap segala jenis salah guna kuasa,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan IPT yang sepatutnya menjadi pemangkin pembinaan integriti didakwa kini menjadi ‘lubuk rasuah’ apabila gejala itu dikatakan menular dalam ekosistem pendidikan melibatkan urusan pentadbiran, kewangan serta aspek akademik seperti pemberian markah, kelulusan kursus dan peluang penyelidikan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN