TEHRAN – Iran mahukan penamatan muktamad berhubung perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel serta menolak tekanan untuk segera membuka semula Selat Hormuz di bawah gencatan senjata sementara, lapor akhbar Arab News semalam.
Kenyataan Tehran dikeluarkan ketika Amerika dan Iran mempertimbangkan pelan rangka kerja untuk menghentikan perang yang berlarutan selama lima minggu.
Tehran menyampaikan jawapannya kepada usul Washington untuk menamatkan perang itu menerusi Pakistan. Iran menolak gencatan senjata dan menekankan keperluan untuk menamatkan perang secara kekal, lapor agensi berita IRNA semalam.
Maklum balas Iran terdiri daripada 10 klausa, termasuk penamatan konflik Asia Barat, protokol untuk laluan selamat di Selat Hormuz, penarikan balik sekatan Barat dan pembinaan semula iran.
Presiden Donald Trump kemudian menolak cadangan Iran semalam dan berkata, tempoh akhir yang ditetapkan Washington adalah muktamad.
“Mereka telah membuat cadangan, dan ia adalah cadangan yang signifikan. Ia adalah langkah yang signifikan. Ia tidak cukup baik,” kata Trump kepada wartawan.
Trump menambah, beliau berasa marah dengan kerajaan Iran justeru, mereka akan ‘membayar harga yang besar untuk itu.’
Rangka kerja yang diuruskan oleh Pakistan untuk menamatkan perang itu muncul daripada rundingan intensif seharian.
Ia mencadangkan gencatan senjata segera, diikuti rundingan mengenai penyelesaian damai lebih meluas yang akan diselesaikan dalam tempoh 15 hingga 20 hari, kata sumber yang mengetahui cadangan tersebut. – AGENSI














