TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar mencadangkan agar muka baharu dilantik menjadi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres pemilihan akan datang.
Menurut Shahril, sekarang adalah masa terbaik untuk pulihkan semula badan induk bola sepak negara itu selepas terpalit dengan pelbagai isu khususnya melibatkan pentadbiran sebelum ini.
Shahril berkata, calon utama yang dicadangkan seperti Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mungkin tidak lagi berminat untuk mengisi kerusi panas itu nanti.
“Saya rasa FAM kena ada perubahan total dan muka-muka baharu termasuk golongan korporat harus bertanding (pada kongres pemilihan) demi kebaikan bola sepak negara.
“Baru-baru ini saya ada terbaca mengenai Pemangku Sultan Johor berminat untuk menjadi Presiden FAM tetapi secara peribadi, (saya berpandangan) tak mungkin baginda akan bertanding kerana masuk FAM nanti terikat.
“Namun, tidak pasti jika dalam tempoh beberapa bulan lagi akan berubah fikiran, terpulang kepada baginda (untuk bertanding),” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Yayasan Raja Muda Selangor (RMS) dan FAS, hari ini.
Selain itu, Shahril turut kurang bersetuju dengan cadangan agar Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd. Amin menjadi pilihan alternatif supaya kembali mengisi jawatan No. 1 FAM semula jika Tunku Mahkota Ismail menolak untuk bertanding.
“Hamidin saya anggap seperti abang saya, tetapi biarlah dia kekal sebagai Presiden Kehormat untuk terus memberi nasihat selain fokus jawatan di AFC dan FIFA ketika ini,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan beberapa individu telah dikaitkan mengisi kekosongan tersebut termasuk golongan kerabat seperti Tunku Mahkota Ismail dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selain itu, tokoh korporat terkenal, Tan Sri Tony Fernandes juga turut dikhabarkan ke jawatan panas berkenaan selain nama Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan. – KOSMO! ONLINE














