LONDON – Legenda Mesir, Mohamed Aboutrika mendakwa keputusan Mohamed Salah meninggalkan Liverpool pada hujung musim ini adalah berpunca daripada pengendali kelab itu, Arne Slot.
Aboutrika mendakwa telah bercakap dengan Salah selepas pemain itu membuat pengumuman meninggalkan Anfield biarpun masih memiliki setahun lagi kontrak bersama kelab itu.
“Salah satu faktor kenapa dia (Salah) membuat keputusan berkenaan adalah kerana Arne Slot. Anda boleh melihat beberapa isu berlaku sejak awal musim antara Salah dan Slot.
“Slot yang telah menolak Salah untuk meninggalkan kelab itu. Dia memilili kontrak selama dua tahun, termasuk untuk musim depan. Dia hanya mahu bekerja dengan tenang, tetapi itu tidak berlaku dengan adanya Slot di Liverpool,” katanya.
Biarpun berjaya melakar kejutan selepas merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim pertama Slot di Anfield, musim keduanya tidak berjalan dengan baik dan salah satu puncanya adalah hubungan retak dengan pemain bintangnya itu.
Pada November lalu, Slot mengambil tindakan berani apabila tidak menyenaraikan Salah dalam tiga perlawanan berturut-turut menyebabkan pemain itu melancarkan ‘perang’, sebelum hubungan itu didakwa kembali jernih selepas pulang dari aksi Piala Negara-Negara Afrika.
Aboutrika menyifatkan hubungannya bersama Salah ibarat keluarga dan pemain itu sentiasa meluahkan segala perkara yang berlaku termasuk meminta nasihat mengenai masa depan kariernya.
“Saya bercakap dengannya mengenai destinasi karier seterusnya. Hubungan kami sangat akrab, mungkin seperti abang dan adik.
“Saya memberikannya nasihat mengenai kelab baharu, tetapi saya percaya dia tidak perlukan panduan atau nasihat untuk menentukan hala tuju kariernya selepas di Liverpool,” jelasnya. – AGENSI














