PENYERANG prolifik negara, Faizal Saari melihat pendekatan taktikal yang bakal dibawa ketua jurulatih hoki lelaki kebangsaan yang baharu, Brendon Carolan mampu memberikan dimensi berbeza kepada skuad hoki kebangsaan.
Menurut Faizal, dia sudah pun merasai pendekatan jurulatih tersebut ketika sesi latihan sebelum ini, termasuk ketika jelajah di Australia dan Mesir yang memberi gambaran awal corak permainan Speedy Tigers.
Tambahnya, kekuatan utama Carolan terletak pada keupayaan membaca permainan serta menyediakan pelan taktikal yang jelas buat pemain di atas padang.
“Pasukan okay dengan kehadiran Brendon, sebelum ini memang ada sesi di bawah beliau ketika jelajah di Australia dan Mesir. Dari segi taktikal, dia memang okay dan faham semua aspek berkaitan taktikal,” jelasnya ketika dihubungi Kosmo!.
Malah, Faizal mendedahkan skuad negara kini mempunyai beberapa pilihan taktikal yang boleh diubah mengikut kekuatan dan pendekatan pihak lawan.
“Dia memang lebih kepada taktikal dan banyak perkara yang boleh kita aplikasikan sebagai pemain. Sebenarnya ada tiga atau empat pendekatan taktikal yang kita boleh gunakan, semuanya bergantung kepada pihak lawan. Kalau lawan guna cara tertentu, kita akan ubah taktikal kita,” katanya.
Bagaimanapun, Faizal memilih untuk tidak mengulas secara terperinci mengenai kemampuan Carolan sebagai pengendali utama, sebaliknya menegaskan dia akan memberikan sepenuh komitmen terhadap setiap arahan yang diberikan.
Dalam masa sama, penyerang berusia 35 tahun itu percaya pengalaman di peringkat antarabangsa dimiliki jurulatih tersebut sudah cukup untuk membantu pasukan menghadapi cabaran besar di pentas dunia.














