BANDAR RAYA NEW YORK – Sebuah penerbangan ke Amerika Syarikat (AS) bertukar menjadi ‘dewan bersalin’ apabila seorang penumpang melahirkan anak beberapa minit sebelum pesawat mendarat, lapor akhbarThe Sun UK.
Penerbangan Caribbean Airlines menuju New York meminta pendaratan segera selepas air ketuban wanita itu pecah di ruang udara, Sabtu lalu.
Penerbangan 005 itu mendarat di Lapangan Terbang John F. Kennedy (JFK) selepas berlepas dari Kingston, Jamaica.
“Kami mempunyai seorang penumpang hamil yang akan bersalin pada masa ini,” kata seorang kru pesawat dalam audio diperoleh saluran berita CBS News ketika mereka meminta slot pendaratan segera.
Seorang pegawai FK mengesahkan bahawa kakitangan perubatan akan berada di pintu pagar semasa pesawat itu mendarat.
“(Bayi) sudah keluar? Beritahu dia (ibu) untuk menamakan bayi itu Kennedy,” kata pengawal menara kawalan secara gurauan dalam audio tersebut.
Keadaan ibu dan bayinya belum dikongsi secara terbuka. – AGENSI














