fbpx
NOOR Azura menunjukkan gambar Auni Afiqah dan abangnya, Abdul Hafiz ketika ditemui di Jabatan Forensik HSB di Alor Setar, hari ini.

‘Abang berulang kali gerak adik kaku atas jalan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – “Selepas kejadian, abang (anak lelaki) berulang kali cuba mengejutkan adiknya yang sudah kaku di atas jalan sambil menangis. Mungkin waktu itu dia sangka adiknya hanya pengsan.”

Demikian kata Noor Azura Abdul Halim, 43, ibu kepada Auni Afiqah Hadi, 3, yang maut dalam nahas membabitkan motosikal Honda C70 dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza di Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, dekat sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 6.45 pagi itu turut meragut nyawa ibu saudaranya, Che Rahmah Abdul Karim, 76, yang menunggang motosikal, manakala seorang lagi anaknya, Abdul Hafiz, 9, cedera.

Noor Azura berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Kuala Nerang, manakala suaminya pulang ke Pahang kerana ibu mentua kurang sihat.

“Biasanya suami yang hantar anak ke sekolah tetapi dia tiada, jadi pagi tadi ada seorang saudara akan hantar. Saya memang tidak akan minta arwah mami (ibu saudara) hantar kerana waktu pagi jalan agak sibuk.

“Saya minta seorang saudara jenguk mereka di rumah dan mendapati mereka sudah tiada. Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan memaklumkan berlaku kemalangan,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Katanya, ramai menyangka dia yang terlibat kemalangan kerana kedua-dua anaknya membonceng motosikal, sebelum mendapati penunggang adalah ibu saudaranya.

“Saya terus ke lokasi dan nampak Auni di tepi jalan, manakala mami di garisan putih tengah jalan. Kedua-duanya sudah tiada, difahamkan mereka tercampak jauh akibat perlanggaran itu,” jelasnya.

Cerita Noor Azura, anak lelakinya cuba mengejutkan adiknya yang kaku sambil menangis.

“Dia kata adik bangun berulang kali sambil sebut mami dah nak balik kerja. Saya tidak boleh bayangkan perasaannya ketika itu. Saya sudah kehilangan dua insan yang saya sayang,” katanya sambil memberitahu ibu saudaranya tinggal bersamanya sejak Ramadan lalu.

Sementara itu, anak tunggal Che Rahmah, Kusairi Kassim, 44, berkata, tiada lagi doa daripada seorang ibu yang mengiringinya selepas ini.

“Doa yang paling makbul adalah dari seorang ibu. Hari ini, saya kehilangan doa yang paling mustajab di muka bumi ini. Esok ulang tahun kelahiran ibu, setiap tahun saya beri hadiah gubahan bunga atau coklat tetapi tahun ini tiada lagi saat seperti itu,” tambahnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan perjalanan seorang wanita warga emas bersama dua cucu saudaranya ke sebuah sekolah dengan menaiki motosikal berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan dengan sebuah MPV di Jalan Padang Sanai, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN